Perkembangan Perusahaan Bijih Timah Di Tanah Melayu ( 2 )



Revolusi Perindustrian

         Kepesatan perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu juga dikaitkan dengan permintaan tinggi di pasaran dunia. Hal ini terjadi ekoran Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah khususnya di Britain. Bijih timah sangat diperlukan dalam perusahaan mengetin makanan iaitu perusahaan ayan (tin-plate) sebagai penyadur tin bagi mengelakkan tin daripada berkarat dan menjamin makanan selamat digunakan. 

Keadaan ini telah menyebabkan harga bijih timah melambung naik iaitu mencapai £140 setan. Hal ini turut menggalakkan pembukaan lebih banyak lombong baru di Tanah Melayu terutamanya di Larut, Rasah, dan Kuala Lumpur. Tegasnya, permintaan yang tinggi terhadap bahan galian ini telah menuntut lebih banyak pengeluaran daripada pelombong pengusaha sehingga menyumbangkan kepada kemajuan perkembangan perusahaan bijih timah.



Penggunaan Kapal Korek

               Lain daripada itu, pengenalan kapal korek turut menjadi penyumbang kepada perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Jentera ini deiperkenalkan pada tahun 1912 oleh syarikat Malayan Tin Dredging di Batu Gajah, Perak. Penggunaan teknologi yang lebih moden ini membolehkan penghasilan bijih timah dengan kuantiti yang lebih banyak dan menguntungkan. 

Tambahan pula, kapal korek boleh digunakan dengan selamat di kawasan berpaya atau tanah lembap serta mampu memisahkan bijih timah dari tanah dengan cepat. Menjelang tahun 1929, dua per tiga daripada jumlah pengeluara bijih timah adalah dihasilkan oleh pengusaha Eropah yang menggunakan kapal korek dalam perlombongan.




Kesimpulan

Kesimpulannya, perkembangan pesat perusahaan bijih timah di Tanah Melayu terbukti didorong faktor kemasukan orang Cina, dasar pemerintahan British, permintaan tinggi di pasaran dunia, dan penggunaan kapal korek dalam perlombongan. Malangnya, perusahaan ini menemui kejatuhan yang amat teruk ketika zaman kemelesetan ekonomi dunia 1929-1932 hingga menjadikan industri tidak lagi diminati oleh sebilangan pengusaha dan syarikat. 

Rentetan kejatuhan ini, kerajaan Inggeris di Tanah Melayu telah menjalankan pelbagai langkah bagi memulihkan harga bijih timah seperti mengurangkan pengeluaran, tidak meluluskan sebarang permohonan bagi membuka lombong-lombong baru, dan terlibat dalam Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa.




( Sumber Infromasi Sejarah Anda )


Post views: counter
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...